Tentang Kami

TERAS PENYELIDIKAN DAN PEMBANGUNAN (R&D)

Akuakultur

Akuakultur adalah antara aktiviti yang menepati matlamat UN Sustainable Development Goals (SDG) dari segi menyokong jaminan makanan, pembasmian kemiskinan, peluang perniagaan dan banyak manfaat lain. Matlamat utama R&D akuakultur adalah untuk memperkasa industri akuakultur negara secara lestari bagi menjamin bekalan makanan terutamanya sumber protein yang mencukupi dan berkualiti. R&D akuakuakultur dilaksanakan di IPP Glami Lemi, IPP Tanjung Demong, IPP Gelang Patah, IPP Pulau Sayak, PP Langkawi dan IPP Bintawa.

Di dalam RMK-12, terdapat empat skop utama R&D akuakultur iaitu:

i. Pembangunan baka dan teknologi pembenihan ikan (tilapia, kerapu, siakap, udang harimau, udang galah)
ii. Teknologi ternakan (ternakan superintensif, RAS, mekanisasi dan automasi akuakultur)
iii. Formulasi makanan ikan berkos efektif dan pembangunan ternakan makanan hidup berkepadatan tinggi dan higenik.
iv. Pembangunan sumber baharu akuakultur (ikan kelah, patin, gamat, rumpai laut).

Perikanan Tangkapan

Pada masa ini perikanan tangkapan menyumbangkan kepada 70% daripada pengeluaran ikan di Malaysia. Membantu dalam mengenalpasti polisi dan strategi pengurusan yang tepat dan memastikan pengurusan dan penggubalan polisi dibuat berdasarkan data empirikal saintifik yang kukuh adalah matlamat utama penyelidikan perikanan tangkapan selain daripada menambahkan pengetahuan dalam status alami dan dinamik perikanan.

Bagi mencapai objektif tersebut, di dalam RMK-12, penyelidikan perikanan tangkapan mensasarkan beberapa skop kajian utama iaitu:

i. Penentuan status pentaksiran sumber perikanan marin.
ii. Sumber dan biologi spesies komersil utama.
iii. Pembangunan peralatan menangkap ikan mesra sumber dan penilaian peralatan menangkap ikan baharu.
iv. Pemetaan sumber kerang-kerangan.

Pentaksiran Impak

Pembangunan yang pesat sering dikaitkan dengn pelbagai impak negatif kepada persekitaran akuatik. Hal ini dirumitkan lagi dengan cabaran fenomena alami seperti perubahan iklim, kenaikan suhu dunia dan sebagainya. Memandangkan persekitaran akuatik adalah nadi kepada kehidupan, maka pentaksiran impak perlu dinilai secara sistematik dan saintifik agar flora dan fauna akuatik, sumber ikan untuk makanan, pendapatan nelayan dan penternak dapat dipelihara dan diuruskan dengan mampan.

Di dalam RMK-12, penyelidikan pentaksiran impak alami dan antropogenik menumpu kepada 5 skop utama penyelidikan iaitu:

i. Ekologi, kualiti air, oseanografi pantai dan ternakan kerang.
ii. Pencemaran akuatik (logam, mikroplastik, alga berbahaya dan biotoksin marin, bakteria penunjuk pencemaran najis).
iii. Toksikologi bahan penyerak minyak.
iv. Bio-sosioekonomi.
v. Applikasi biologi molekul dalam pengecaman spesies dan pengurusan stok perikanan.

Kesihatan Ikan

Penyakit ikan adalah salah satu ancaman serius yang menghalang produktiviti dan pulangan ekonomi yang optimum dalam industri perikanan. Dengan intensifikasi dalam sistem pengeluaran serta kemunculan penyakit baharu, ancaman penyakit menjadi lebih ketara. Penyelidikan kesihatan ikan bermatlamat untuk meningkatkan pembasmian penyakit, kecekapan diagnosis dan pengurusan kesihatan ikan di Malaysia.

Di dalam RMK-12, tiga skop utama R&D yang dilaksanakan adalah:

i. Penentuan faktor risiko kejadian penyakit berkepentingan ekonomi di lapangan.
ii. Pembangunan kaedah pencegahan/kawalan penyakit akuakultur.
iii. Rawatan alternatif akuakultur.

Taman Laut

Taman laut adalah antara eksoistem yang paling produktif di dunia dengan kepelbagai sumber dan perkhidmatan. Justeru taman laut perlu dipelihara dan diurus dengan baik agar semua aktiviti dan perubahan yang berlaku di taman laut tidak mengancam dan memudaratkan sumber, dapat dikekalkan manfaat sedia ada serta meningkatkan potensi kegunaan masa hadapan.

Bagi menggalas misi ini, skop penyelidikan yang dijalankan di bawah teras ini adalah:

i. Status kesihatan terumbu karang.
ii. Inventori spesies karang, ikan terumbu dan invertebrata marin terpilih.
iii. Biojisim dan kepadatan ikan terumbu.
iv. Status stok dan populasi gamat.
v. Restorasi/rehabilitasi karang.

Penyu dan Spesies Mamalia Marin Terancam

Penyu dan spesies mamalia marin terancam merupakan dua hidupan akuatik yang dilindungi di bawah Akta Perikanan 1985. FRI Rantau Abang, Terengganu merupakan satu-satunya IPP yang memberi tumpuan kepada penyelidikan penyu dan spesies mamalia marin terancam selain bertanggungjawab sebagai Pusat Rujukan Menyelamat bagi dua hidupan tersebut.

Antara skop penyelidikan yang dijalankan di bawah teras ini adalah:

i. Kajian tingkah laku.
ii. Tebaran geografi, kitaran hidup.
iii. Ancaman terhadap populasi.
iv. Status kesihatan dan rawatan.

Kajian-kajian dalam bidang ini diharap dapat memberi input dalam mengenal pasti faktor-faktor yang menyumbang kepada kemerosotan populasi, seperti perubahan iklim, degradasi habitat, pencemaran, dan aktiviti manusia.

Info Institut

Tawaran Kontrak/Sebutharga untuk tahun 2024 telah dibuka.