Institut Penyelidikan Perikanan (IPP) telah ditubuhkan oleh Kerajaan Malaysia pada tahun 1957 di Gelugor, Pulau Pinang di bawah Jabatan Perikanan Malaysia, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM). IPP adalah satu-satunya institusi dimana penyelidikan dalam pelbagai disiplin perikanan dilaksanakan. Semenjak ditubuhkan, IPP berkembang dengan ketara dari segi saiz dan lokasi dengan penubuhan 10 buah pusat dan stesen penyelidikan di Semenanjung Malaysia dan Sarawak dengan infrastruktur penyelidikan yang mencukupi dan penyelidik yang berkelayakan. Pada tahun 1995, ibu pejabat IPP telah berpindah dari Gelugor ke kompleks baharu di Batu Maung, Pulau Pinang. Sepanjang penubuhan selama 66 tahun, IPP semakin progresif dan boleh dianggap sebagai salah satu institusi penyelidikan perikanan tropika yang terkemuka di rantau ini.

Untuk Memberi Pengetahuan dan Kepakaran Saintifik yang Tepat bagi Pembangunan Sektor Perikanan Secara Mapan

Untuk Menjadi Pusat Kecemerlangan bagi Penyelidikan Perikanan Tropika

Menerajui Inovasi Perikanan
Memberi maklumat dan kepakaran saintifik untuk pengurusan dan eksploitasi sumber perikanan secara mapan.
Memberi asas dan sokongan saintifik untuk pemuliharaan dan peningkatan sumber perikanan.
Membangun teknologi baru yang bersesuaian dan penggunaan spesies baharu dalam pembangunan akuakulltur.
Mempelbagaikan penggunaan berasaskan sumber hidupan akuatik.
Institut Penyelidikan Perikanan komited untuk menjalankan aktiviti-aktiviti penyelidikan yang bertepatan dengan keperluan jabatan dan industri, khususnya dalam bidang akuakultur, perikanan tangkapan, pemuliharaan persekitaran akuatik, peningkatan mutu dan kegunaan kehidupan akuatik yang berlandaskan kepada etika dan cara kerja yang piawai.
Kami berjanji untuk memberi perkhidmatan yang terbaik dan tepat kepada kumpulan pelanggan kami, termasuk penternak, nelayan dan pengusaha perikanan dalam membangunkan industri perikanan negara dengan penuh dedikasi dan profesional dengan menepati ikrar-ikrar seperti berikut:
Mengeluarkan dan mendokumenkan hasil penyelidikan yang relevan, belandaskan kepada asas-asas sains yang kukuh, beretika, bernas, berpotensi dan berdaya saing selewat-lewatnya tiga tahun bagi sesuatu kajian dan fasa kajian.
Memberi maklumbalas dan laporan yang sesuai ke atas segala permohonan perkhidmatan analisis makmal dalam masa 10 hari bekerja.
Memberi maklumat dalam bidang-bidang akuakultur, ekosistem akuatik, keselamatan makanan dan status sumber perikanan serta maklumat biologi ikan dalam masa 2 hari bekerja.
Menghayati nilai-nilai murni dan tatakelakuan penyelidik yang terkandung dalam kod etika Institut Penyelidikan Perikanan semasa memberi khidmat kepada pelanggan.
Menyediakan khidmat nasihat dan perundingan secara profesional dan telus dalam jangka masa yang dipersetujui bersama pelanggan.
Mengambil tindakan susulan terhadap apa-apa aduan pelanggan dalam masa 7 hari.
Sejarah Institut Penyelidikan Perikanan (IPP) bermula pada tahun 1949 dengan penubuhan Cawangan Penyelidikan Ikan Air Tawar di Gelugor, Pulau Pinang di bawah Jabatan Perikanan Malayan Union dan Singapura. Cawangan ini telah dinaik taraf kepada Institut Penyelidikan Perikanan (menggunakan singkatan IPP) pada tahun 1957 dan merupakan salah satu daripada sepuluh bahagian di dalam Jabatan Perikanan Malaysia. Objektif utama penubuhan IPP adalah menjalankan penyelidikan dalam aspek sumber perikanan, akuakultur dan ekologi bagi menyokong Jabatan dalam pengurusan dan pembangunan sektor perikanan di Malaysia. En. D. Pathansali adalah Ketua Pegawai Penyelidik pertama yang dilantik untuk menerajui IPP.
IPP telah melalui beberapa perubahan struktur dalaman pada tahun-tahun seterusnya dengan penubuhan pusat-pusat di seluruh negara untuk menjalankan kajian dalam bidang-bidang perikanan utama sepert berikuti:
Pusat Penyelidikan Ikan Air Tawar (PPIAT) atau Freshwater Fisheries Research Centre (FFRC) di Batu Berendam, Melaka yang kemudian berpindah ke Glami Lemi, Jelebu, Negeri Sembilan pada tahun 2006 dan kini dikenali sebagai IPP Glami Lemi.
Pusat Penyelidikan Perikanan Bintawa, Sarawak, kini dikenali sebagai IPP Bintawa.
Pusat Penyelidikan Ternakan Air Payau (PPTAP) atau Brackishwater Fisheries Research Centre (BARC), Gelang Patah, Johor, dan kini dikenali sebagai IPP Gelang Patah.
Pusat Penyelidikan dan Pengeluaran Ikan Laut (PPPIL) atau Marine FinFish Production and Research Centre (MAFPREC) di Tanjung Demong, Terengganu dan kini dikenali sebagai IPP Tanjung Demong.
Pusat Penyelidikan Kesihatan Ikan Kebangsaan atau National Fish Health Research Centre (NaFisH) di Batu Maung Pulau Pinang.
Pusat Penyu dan Ekosistem Marin atau Turtle and Marine Ecosystem Centre (TUMEC) di Rantau Abang, Terengganu dan kini dikenali sebagai IPP Rantau Abang.
Stesen Kajian Marin Layang-Layang (Marine Research Station Layang-Layang (MaRSAL).
Pusat Penyelidikan Ekosistem Akuatik atau Aquatic Ecosystem Research Centre (AEReC), di Kg Acheh, Sitiawan,Perak dan kini dikenali sebagai IPP Kg Acheh.
IPP Langkawi, Bukit Malut, Pulau Langkawi dan kini dikenali sebagai Pusat Penyelidikan Langkawi.