
Assalammualaikum Warahmatullah wbt dan Salam Sejahtera.
Institut Penyelidikan Perikanan (IPP) memikul tanggungjawab besar untuk memaju dan menguruskan sektor perikanan negara melalui penyelidikan dan pembangunan. Ini bagi memastikan sumber perikanan dapat menyumbang kepada bekalan protein yang tinggi kepada rakyat dan mampu dinikmati oleh seluruh lapisan Masyarakat disamping menjanakan ekonomi negara. Bagi mencapai matlamat tersebut, IPP perlu mempunyai keupayaan ilmu, kepakaran dan kemudahan yang terbaik selari dengan perkembangan teknologi masakini.
Kompetensi, nilai, kreativiti pegawai-pegawai penyelidik IPP akan sentiasa dipertingkatkan melalui kerjasama penyelidikan dengan universiti, institusi penyelidikan dan pertubuhan samada di dalam dan luar negara. Kerjasama dengan pihak swasta dan kumpulan sasar yang menjadi pelanggan utama IPP akan turut digiatkan bagi memastikan hasil penyelidikan dapat dinilai dan memberi manfaat kepada golongan berkenaan.
Seiring dengan perkembangan pesat industri perikanan, pegawai-pegawai penyelidik IPP akan didedahkan dengan teknologi dan pengetahuan baru melalui kursus, bengkel dan seminar di dalam dan luar negara. Tumpuan akan terus diberikan dalam bidang-bidang utama iaitu Akuakultur, Perikanan Tangkapan, Pentaksiran Impak, Kesihatan Ikan, Taman Laut, Perikanan Darat, Sosioekonomi dan pemuliharaan spesies-spesies terancam.
Peningkatan kompetensi ini akan membolehkan teknologi dan inovasi baru dalam dapat diterokai dan digunakan oleh kumpulan sasar. Misi dan visi tersebut akan dapat dicapai dengan iltizam untuk kita terus membudayakan penyelidikan dan inovasi dalam melaksanakan tugasan yang telah diamanahkan. Jika misi ini dapat dilaksanakan dengan baik, industri perikanan negara dapat dibangunkan dengan lestari dan mampu menyokong kepada keterjaminan bekalan makanan negara.
Sejajar dengan kecemerlangan aktiviti penyelidikan yang dijalankan, IPP turut mensasarkan untuk mendaftarkan 3 harta intelek yang terhasil setiap tahun dan mengkomersilkan sekurang-kurangnya 3 inovasi dalam tempoh 5 tahun. Matlamat ini mampu dicapai dengan komitmen dan dedikasi semua kakitangan di pelbagai peringkat. InshaAllah.
Terima kasih.
YBrs. Dr. Azhar bin Hamzah
Pengarah Kanan
Institut Penyelidikan Perikanan