Galeri Spesies Marin Terancam dibuka kepada awam secara rasmi pada 16 Julai 2010 oleh Ketua Pengarah Perikanan Malaysia, Yang Berhormat Dato’ Junaidi Che Ayub. Galeri ini adalah di bawah seliaan IPP Rantau Abang selaku peneraju institut penyelidikan penyu, mamalia marin dan spesies marin terancam di Malaysia. Galeri ini terbahagi kepada 3 unit pameran utama iaitu Bahagian Ekosistem Marin, Bahagian Mamalia Marin dan Bahagian Penyu. Galeri ini juga dipenuhi dengan poster sainitifik dan maklumat mengenai status dan senarai spesies marin terancam di Malaysia untuk tatapan para pelawat.
Para pelawat berpeluang untuk menyaksikan sendiri keunikan spesimen spesies terancam di serata Malaysia berdasarkan bahan–bahan dan aset pameran di galeri ini. Antara yang menjadi tarikan utama pelawat adalah rangka tulang Paus Sei (Balaenoptera borealis) dan Paus Bryde (Balaenoptera edeni). Selain itu, bahagian pameran mamalia marin turut menempatkan aset berharga lain iaitu rangka spesies mamalia seperti Empesut (Orcaella brevirostris), Porpois Anibu (Neophocaena phocaenoides), Lumba–lumba (Grampus griseus, Tursiops truncatus), Paus Sperm (Kogia breviceps), Paus Muncung Angsa (Ziphius cavirostris) dan spesimen awet kering Dugong (Dugong dugon).
Manakala unit pameran penyu pula dilengkapi dengan rangka spesies Penyu Lipas (Lepidochelys olivacea) dan Penyu Agar (Chelonia mydas) selain awet kering spesimen penyu dan replika sarang penyu serta model Alat Pengisih Penyu/Turtle Excluder Device (TED). Sementara itu, bahagian ekosistem marin pula menempatkan spesimen awet kering spesies terumbu karang, kima gergasi dan kerang-kerangan di perairan Malaysia.
IPP Rantau Abang juga menjadi tarikan pelancong apabila melawat daerah Dungun, Terengganu kerana kewujudan Kolam Menyelamat Spesies Marin Terancam yang berfungsi sebagai penempatan sementara penyu atau mamalia marin yang dirawat dan diselamatkan. Pelawat berpeluang untuk melihat secara dekat penyu dalam jagaan dan rawatan oleh IPP Rantau Abang di bahagian kolam ini.
Kesemua aset pameran ini adalah sangat berharga dan menggambarkan kekayaan biodiversiti marin Malaysia yang perlu dilindungi untuk kelestarian dan kesinambungan sumber perikanan dan ekologi marin.
Galeri Spesies Marin Terancam turut bertindak sebagai medium untuk mendidik dan menyampaikan informasi mengenai usaha konservasi dengan menerima lawatan dari tadika, sekolah dan pelajar universiti. Usaha ini selaras dengan inisiatif untuk memupuk kesedaran mengenai kepentingan menjaga dan memulihara ekosistem marin yang perlu dimulakan di peringkat awal masyarakat.
Mendidik orang awam dan para pelawat mengenai kepentingan usaha konservasi biodiversiti marin terutamanya terhadap spesies penyu dan mamalia marin yang semakin terancam.