Break and Protect (BP2), hasil idea daripada Dr. Kua Beng Chu adalah alat perangkap lintah marin (Zeylanicobdella arugamensis) yang mampu mengatasi masalah infestasi lintah marin dalam ikan ternak sangkar terutamanya ikan kerapu. Kematian akibat daripada infestasi lintah marin telah dilaporkan di negara Asia Tenggara termasuk Filipina, Singapura, dan Malaysia. Selain menyebabkan kematian, lintah marin juga menyebabkan kecederaan serius dan jangkitan sekunder pada ikan. Sekiranya langkah-langkah pencegahan tidak diambil dengan segera, infestasi akan merebak dan menyebabkan kematian dan kerugian pada penternak.
Terkini keberkesanan BP2 telah juga diuji terhadap 14 spesies ikan ternak lain termasuk bawal, siakap, jenahak dan haruan tasik. BP2 telah dikomersialkan oleh Syarikat 3 Little Fish Sdn. Bhd. dan kini alat ini telah berada di pasaran Malaysia dan Asia Tenggara.
Antara kelebihan penggunaan BP2 adalah pengurangan jangkitan lintah dari 100% kepada 22% dalam tempoh 15 hari dan membolehkan ikan dijual dalam bentuk hidup tanpa luka (RM35/kg) berbanding dengan RM5/ekor (jualan ikan mati dengan luka di badan akibat infestasi lintah). BP2 dikategorikan sebagai teknologi hijau dimana tiada bahan kimia digunakan untuk rawatan ikan. Ia turut mengurangkan kos operasi, masa dan jumlah pekerja kerana BP2 boleh dikendalikan oleh seorang pekerja sahaja.


Kepada yang berminat untuk membeli unit Break and Protect 2, boleh hubungi:
Dr. Kua Beng Chu
Emel: kuaben01@dof.gov.my
No.telefon: +6013 4334 434
Pn. Nur Ashikin Arbi
Emel: ashikin@dof.gov.my
No.telefon: +60 11-2181 3032