Akuarium Tunku Abdul Rahman (AkuaTAR) yang sebelum ini dikenali sebagai Akuatorium Malaysia Pulau Pinang mula beroperasi pada Jun 1996. AkuaTAR diuruskan sepenuhnya oleh Institut Penyelidikan Perikanan. Ia sebenarnya menggantikan Akuarium Tunku Abdul Rahman, di Jalan Akuarium, Gelugor, Pulau Pinang yang amat terkenal di rantau Asia suatu ketika dulu. Akuarium ini dinamakan sempena nama Perdana Menteri Malaysia yang pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj yang telah merasmikan sendiri bangunan ini pada tahun 1968. Akuarium ini mempunyai reputasi yang sangat baik sebagai mercu tanda pelancongan dan institusi saintifik. Antara pelawat VVIP yang pernah hadir ke Akuarium adalah bekas Putera Mahkota Jepun dan Puteri Michiko pada tahun 1974 serta Tuan Yang Dipertuan Agong yang Ke-empat iaitu Al-Marhum Tuanku Ismail Nasiruddin Shah ibni Al-Marhum Sultan Zainal Abidin. Pada tahun 1984, akuarium ini terpaksa ditutup disebabkan masalah kerosakan struktur yang besar.
Pada masa ini terdapat hampir 123 spesies ikan dipamerkan di AkuaTAR, dengan 2 tangki khas untuk ikan air tawar, 31 tangki ikan air masin, 8 tangki tumbuhan akuatik, 6 tangki spesimen awet dan 1 touch pool. Antara tarikan utama AkuaTAR adalah auditorium yang berlatarbelakangkan tangki gergasi bersaiz 120 tan serta satu rangka ikan paus Bryde (Balaenoptera edeni) dengan panjangnya 40 kaki dan merupakan salah satu spesies mamalia marin dalam kategori amat terancam. Walaupun AkuaTAR boleh dinobatkan sebagai destinasi pelancongan bajet di Pulau Pinang tetapi bahan pameran dan aspek pendidikan yang boleh dikongsi dengan pengunjung adalah sangat bernilai dan tidak dapat diukur dengan wang ringgit.
Untuk mendidik dan meningkatkan kesedaran awam tentang pentingnya pemuliharaan eksoistem bagi tujuan menjaga khazanan warisan akuatik di Malaysia.